Tuesday, November 2, 2010

Usaha tangani rasuah tunjuk kemajuan

Usaha tangani rasuah tunjuk kemajuan: Idris Jala



KUALA LUMPUR: Pelbagai usaha kerajaan bagi menangani gejala rasuah menunjukkan kemajuan sekalipun ia tidak dicerminkan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Beliau yang mengulas kedudukan Malaysia yang kekal pada tangga ke-56 dari 178 negara, juga berkata, walaupun markah yang diperolehi Malaysia tidak boleh dibanggakan, namun ia juga tidak perlu dilihat sebagai perkembangan negatif.

"Walaupun ada kemerosotan sebanyak 0.1 mata berbanding tahun lepas pada 4.5, ini mencerminkan bentuk CPI itu sendiri, bukan kerana tidak ada kemajuan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dalam membanteras rasuah," katanya di sini, hari ini.
Idris yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), berkata CPI diiktiraf sebagai penunjuk prestasi isu rasuah yang kompleks kepada bentuk yang mudah difahami.

"Bagaimanapun, ia tidak mengukur kesan langsung tindakan yang diambil untuk menangani kebimbangan masyarakat umum, kerana kajian oleh CPI diperolehi daripada komuniti perniagaan dan risiko sesebuah negara serta analisis pakar," katanya.

"Semua pihak harus mengambil kira tujuan CPI dan mengiktiraf persepsi adalah berdasarkan pengalaman lepas. Memandangkan usaha menerusi inisiatif NKRA belum dirasai di akar umbi, maka persepsi yang diukur juga adalah kurang tepat," katanya.

Beliau berkata, CPI juga tidak diukur berasaskan tahun ke tahun tetapi bagi sesetengah sektor input adalah secara purata bagi tempoh dua tahun. Walaupun mencatatkan sedikit kemerosotan, responden CPI dari beberapa segmen iaitu "IMD World Competitiveness Yearbook", "Political & Economic Risk Consultancy's Asian Intelligence Newsletter" dan "World Economic Forum's Global Competitiveness Report" menunjukkan kemajuan.

"Ini menjanjikan suatu yang baik untuk masa depan kerana kita tahu kita berada di landasan yang betul menerusi inisiatif di bawah NKRA," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sudah mengambil pelbagai langkah untuk menangani isu rasuah, antaranya pembentukan 18 mahkamah khas rasuah dan pindaan Kanun Tatacara Jenayah bagi memastikan kes rasuah dibicarakan dengan cepat.

Kerajaan juga melaksanakan langkah ''menamakan dan memalukan pesalah'' menerusi pangkalan data pesalah rasuah di laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Setakat ini, 222 pesalah yang disabitkan kesalahan dipaparkan sejak pembentukan pangkalan data itu pada Februari lepas, dengan kebanyakan kes dimuat naik dalam masa sebulan selepas sabitan." katanya.

Idris berkata, usaha juga sedang diambil untuk melaksanakan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat menjelang akhir tahun ini.

Dari segi pemerolehan, antara langkah yang diambil kerajaan ialah memastikan ketelusan dengan 3,716 tender dan kontrak kerajaan dipaparkan dalam portal MyProcurement.

"Bagaimanapun diakui, masih banyak harus dilakukan. Justeru untuk menggalakkan kebertanggungjawaban dalam membelanjakan duit rakyat, kerajaan akan memperkenalkan ''pakatan integriti'' yang mana antaranya membolehkan pemantauan bebas," katanya.

Idris berkata, kerajaan juga mengambil langkah perlu untuk menangani masalah rasuah pada kalangan agensi penguatkuasa dengan penubuhan unit pematuhan di setiap agensi.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment