Tuesday, March 25, 2008

Tegas, adil, berhemah

Tegas, adil, berhemah

Oleh RAMLI ABDUL KARIM (WARTAWAN UTUSAN)


HARI ini hampir 90,000 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara meraikan sambutan memperingati Hari Polis Ke-201.

Sambutan kali ini begitu signifikan kepada PDRM dan juga negara kerana selepas hampir 10 tahun, pasukan itu akan menggunakan slogan baru selepas ini.

Bermula hari ini, PDRM menggunakan slogan Tegas, Adil dan Berhemah menggantikan slogan Mesra, Cepat dan Betul yang digunakan sejak 1999.

Pada masa yang sama, lencana Saya Anti Rasuah yang dipakai pada uniform setiap pegawai dan anggota mulai November 2005 ditukar kepada lencana Integriti Amalan Kita.








Mengamati rasional slogan baru itu, dengan memilih tiga nilai murni iaitu Tegas, Adil dan Berhemah bermaksud PDRM kini secara jelas meletakkan sasarannya untuk mencapai perkhidmatan yang berintegriti.

Rasional dan tafsiran terperinci slogan itu adalah seperti berikut:

TEGAS: Sebagai pasukan penguat kuasa kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan, setiap pegawai dan anggota yang terdedah kepada kepelbagaian masyarakat, wajib memiliki sikap tegas, diperlihat dan diamalkan serta pada masa sama ketegasan tersebut diasaskan kepada pengetahuan mendalam kepada undang-undang itu sendiri.

ADIL: Menyedari peranannya menjunjung nilai-nilai murni sebagai tonggak etika kepolisan dan integriti, sifat adil akan diamalkan secara tekad dan telus dalam setiap penyiasatan, pencegahan dan gerakan bagi mencapai sabitan kes yang dihakimi secara saksama.

BERHEMAH: Kedua-dua sifat dan sikap terdahulu iaitu tegas dan adil akhirnya akan menghasilkan pasukan polis yang beradab, saling menghormati dan mempercayai. Persepsi masyarakat terhadap kecekapan dan keberkesanan setiap tindakan dan keputusan akan diperakui dengan menjadikannya sebagai kayu pengukur tahap berhemah pasukan polis.

Ketiga-tiga nilai itu secara spesifik menjadi panduan kepada keseluruhan pasukan itu dalam pendekatan menangani jenayah dan isu-isu keselamatan serta perkhidmatan atau usaha mendekati masyarakat.

Pelancaran lencana baru pasukan polis hari ini yang menjadikan Integriti Amalan Kita sebagai temanya mengesahkan bahawa fokus PDRM ketika ini ialah usaha meningkatkan integriti pasukan itu.

Rasional dan tafsiran kepada tema lencana itu lebih mudah difahami dan boleh disifatkan sebagai suatu tekad jitu pasukan untuk membaiki imejnya sekali gus memperbetul persepsi umum terhadapnya.

Tidak boleh dinafikan bahawa perubahan slogan dan lencana tersebut merupakan salah satu langkah positif PDRM dalam usaha mengembalikan semula keyakinan dan kepercayaan masyarakat kepada pasukan itu.

Dengan perkembangan sepanjang 12 bulan lalu, PDRM sudah pasti menyedari tentang wujudnya tanggapan negatif dan prejudis masyarakat serta penurunan darjah penghormatan mereka kepada pasukan itu.

Mungkin ada pihak yang akan secara sinikal menganggap perubahan slogan dan lencana baru sekadar slogan dan lencana semata-mata tanpa membawa makna terhadap realiti tahap amalan integriti dalam PDRM.

Di sebalik persepsi negatif pihak tertentu dan segelintir masyarakat itu, semua pihak seharusnya memberi peluang kepada PDRM merancang dan melakukan sesuatu untuk meningkatkan integritinya.

Usaha memantapkan PDRM dari segi memperlihat ketegasan menangani jenayah dan pada masa yang sama diimbangi dengan keadilan serta integriti tinggi dalam menangani kes pelanggaran undangundang terutama isu-isu ketenteraman awam, bukanlah suatu tugas mudah.

Menyemak semula ‘buku rekod’ pencapaian setahun PDRM dari 25 Mac 2007 hingga semalam, pasukan itu telah melakukan pelbagai tindakan dan merancang banyak program untuk menambah baik pasukan itu.

Matlamat

Di bawah kepimpinan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, pasukan polis kini berada dalam landasan yang betul ke arah memenuhi matlamat penambahbaikan dan meningkatkan integriti pasukan.

Antara usaha sedang dilakukan ialah pengambilan berperingkat-peringkat 60,000 pegawai dan anggota baru dalam tempoh lima tahun bagi memastikan kelancaran perkhidmatan serta mengatasi masalah kelewatan menangani kes-kes jenayah.

PDRM juga dalam proses mengambil semula pegawai-pegawai dan anggota yang bersara tetapi mempunyai prestasi baik, untuk berkhidmat secara kontrak. Tawaran menyambung perkhidmatan secara kontrak juga akan diberi kepada mereka yang bakal bersara.

Dalam usaha meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kemampuan polis mencegah jenayah, Musa menggariskan supaya setiap tindakan dan perancangan mesti memperlihatkan peranan pasukan itu yang mahu mendekati dan lebih hampir kepada masyarakat.

Ini dibuktikan dengan rancangan PDRM membina 107 balai polis baru di empat negeri paling tinggi kadar jenayah. Kesemuanya beroperasi dengan menyewa bangunan perniagaan di pusat-pusat komersial, sekali gus menampakkan usaha pasukan polis mahu ia lebih dekat dengan pelanggannya iaitu rakyat jelata.

Setakat ini, 60 buah daripadanya telah dibuka pada 14 Februari lalu di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor manakala bakinya pada 14 April depan.

Serentak itu, Musa melancarkan operasi 55 pusat komuniti polis di taman-taman perumahan di keempat-empat negeri itu yang akan berfungsi sebagai pemantau dan pengumpul risikan jenayah di samping tempat mengadu kepada penduduk terbabit.

Dalam usaha meningkatkan kecekapan dalam usaha pencegahan dan perisikan polis untuk menangani jenayah, PDRM dalam proses memasang kamera litar tertutup (CCTV) di setiap bandar di seluruh negara.

Keseluruhan CCTV itu akan disambung atau diintegrasi kepada pusat kawalan berpusat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai-balai.

Dalam isu ketenteraman awam, sepanjang 2007, pendekatan Musa dan pasukannya lebih telus dan adil dalam tindakan menangani kes-kes perhimpunan haram, demonstrasi jalanan dan provokasi melampau oleh kumpulan-kumpulan ekstrem.

Walaupun banyak pihak yang tidak setuju dengan tindakan ke atas beberapa pemimpin kumpulan tersebut, namun pendekatan ‘tegas dalam berlembut’ Musa sebenarnya mengambil kira kepentingan negara selepas mengambil pengajaran daripada peristiwa kekacauan sebelum ini.

Bagi tempoh 12 bulan akan datang sehingga 24 Mac 2009, PDRM yang disandarkan dengan pelbagai harapan, permintaan dan desakan mempunyai tugas berat untuk memastikan matlamat menambah baik dan meningkatkan integriti pasukan tercapai.

Sempena sambutan memperingati Hari Polis Ke-201 hari ini, warga polis termasuk pegawai kanannya wajar melakukan muhasabah diri sama ada mereka benar-benar memahami aspirasi rakyat dan pada masa yang sama cita-cita PDRM ke arah pasukan berintegriti.

Matlamat memantapkan PDRM dan meningkatkan kepercayaan masyarakat hanya boleh tercapai dengan azam yang bulat daripada setiap pegawai dan anggota untuk bertugas mengikut prinsip slogan baru, Tegas, Adil dan Berhemah serta menghayati tema Integriti Amalan Kita.




- Utusan Online